Sunday, 19 February 2017

MO KATA ULA, CHEQ HABAQ KATOK LA…BAGI MAMPUIH!!!


Sepasang suami isteri yang baru sebulan berumah-tangga sedang beristirehat di ruang rehat rumah sewa mereka. Si-isteri berasal dari Pasir Mas, Kelantan manakala si-suami pula dari Kodiang, Kedah. Sama seperti pasangan2 suami-isteri lain, dek kerana kesibukan bekerja, masa rehat hujung  minggu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasangan ini sambil menonton TV. Tiba2 si-isteri menjerit...

Si-isteri: abae, ula abae. besar lengae bae...
Si-suami: haa?  katok katok mana dia?
Si-isteri: bukae katok, ula bae...
Si-suami: haa la. pasai tu abang kata katok...
Si-isteri: aloh la abae ni... bukae katok, ula..
Si-suami: betoi la. mau ulaq katok, jangan biaq. katok.
Si-isteri: parok abae nih. Orae royak doh kato ula. bukae katok. katok nyo lopak. ni ula. yo bbelit... hishh
Si-suami: dak sungguh aih. mo kata ulaq bukan ka, kena katok bagi mampuih...


Dan ular pun sempat melarikan diri dengan selamatnya dari rumah tersebut seraya tersenyum simpul...

Friday, 17 February 2017

KITA SEMAKIN MELIDI




Sejauh pemerhatian KS mutakhir ini kita di Malaysia khususnya orang2 Islam/Melayu semakin terpisah antara satu sama lain. Jurang yg memisahkan kita semakin hari semakin banyak dan semakin dalam.

Ideologi politik memisahkan kita. Jurang ekonomi memisahkan kita. Jurang digital memisahkan kita. Ketaksuban agama memisahkan kita hingga ada Wahabi, Salafi, Shiah, Sunni dsbnya.

Pasal bolasepak pun kita terpisah hingga bergaduh dan menumpahkan darah. Apa nak jadi dgn bangsa kita ni?

Kita leka berpecah atas sebab2 ciptaan kita sendiri, sedang inci demi inci, ekar demi ekar tanah tumpah darah warisan nenek moyang kita diambil orang.

Kita leka hingga menjadi lidi walaupun kita pernah bersatu seutuh penyapu dan berjaya menyapu lenyap anasir yg menggugat kita dulu.

Moyang2 kita pernah membuktikan kerana bersatunya orang Melayu Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Acheh, Deli, Langkat, Bugis maka kita mampu menewaskan pakatan British-Siam Ligor hingga mampu membebaskan Setoi, Yala, Patani pada 1839 dulu.

Moyang2 kita pernah membuktikan kerana bersatunya orang Melayu di seluruh Semenanjung kita berjaya menyapu keluar gagasan Malayan Union tajaan British, super power yg baru menang WWII 1940an dulu.


Kita tahu dan sedar akan kuatnya kita apabila bersatu seiya sekata seperti seikat penyapu. Tetapi kenapa kita memilih untuk menjadi lidi yg terasing lemah serta mudah patah?

Thursday, 16 February 2017

VALET DOA: INOVASI YANG BELUM PERNAH KITA DENGAR ATAU PENSWASTAAN BERDO'A


Sehari dua ni heboh juga dalam FB ditularkan tentang khidmat upah berdo'a di Masjidil Haram di Makkatul Mukarromah. Ini adalah inovasi yg belum pernah kita dengar sebelum ini.

Soalnya kenapa perlu kita menggunakan khidmat swasta untuk berdo'a kepada Allah Taala? Adakah kita terlalu sibuk hingga tidak ada masa utk berdoa sendiri? Ataukah kerana doa kita selama ini belum Allah makbulkan?

KS pernah terbaca dulu tentang Martin Luther yang kecewa kerana orang Kristian Katholik tidak boleh 'bercakap' terus kpd tuhan. Mereka perlu membuat 'confessions' atau pengakuan dan penyesalan serta permintaan kpd padri dan padri lah yg akan sampaikan kpd tuhan.

Ada kes di mana padri mengenakan denda dgn harga tertentu sbg menebus dosa  dan wang tersebut diseleweng oleh padri. Ini menimbulkan penentangan terhadap pihak gereja tsb.

Martin Luther menghujah kenapa orang Islam diberi keistimewaan utk berkomunikasi terus dgn tuhan, sedangkan orang Kristian perlu berperantara. Hal ini lah antara sebab terbentuknya mazhab lain dlm agama Kristian.

Berbalik kpd kita orang Islam, Allah telah membuka ruang seluas-luasnya kpd kita utk berkomunikasi terus dgnNya. Mintalah apa saja yg baik nescaya dimakbulkanNya.

Jika doa kita belum dimakbulkan cuba semak dan teliti semula di mana silap kita berlandaskan catatan2 dlm kitab sebab2 doa belum termakbul. Bagus sekali kita berkomunikasi dgn Allah di kala sunyi dinihari sewaktu tahajjud.

Jadi apa perlunya permohonan dan komunikasi kita kpd Allah itu menggunakan khidmat swasta? Jangan sampai ada yg terlebih kreatif menawarkan khidmat tolong jawab soal kubur pulak nanti.


'Anda tak perlu bimbang apa2. Anda cuma perlu mati. Dgn bayaran tertentu kami akan tolong jawab soalan yg dikemukakan oleh malaikat. Satu soalan RM10K, 2 soalan RM20K begitulah seterusnya'... MAMFUSSSSS.....

Wednesday, 15 February 2017

BABI SENTAP!!!BABI MEMBIAK!!!


Terdengar dialog ini di sebuah kandang babi di sebuah negeri dalam sebuah negara bernama Malaysia.

Anak babi : Ibu, ibu, nama kita terpampang dalam surat khabar. Kat TV pun keluar lagi cerita kita bu. Wow glamour sekejap.

Ibu babi : Ya. Ibu tahu. Ibu pun tengok juga. Nama kita meniti dari bibir ke bibir manusia di bumi bertuah ni.


Anak babi : Tapi bu. Kenapa orang benci sangat dengan kita bu? Sampaikan hari ni bulu kita yg dijadikan berus cat semua kena rampas. Kita tak mintak bulu kita dijadikan berus cat.

Ibu babi : Betul anak ku. Malah kita tak pernah minta dilahirkan sebagai babi. Namun takdir menentukan. Memang daging kita haram dimakan manusia Islam. Tetapi tidak disuruh orang membenci kita kerana kita juga makhluk ciptaan Allah. Bila kita dijadikan oleh Allah tentu saja ada manfaatnya. Banyak kajian2 sains perubatan menggunakan kita. Semasa kita dijadikan bahan ujikaji tak pula kita dibenci sedemikian rupa.



Anak babi : Betul tu ibu. Tapi yang saya tak faham tu kenapa tak semena2 isu berus cat bulu kita meletup dlm media. Bulu kita kan dah lama dijadikan berus cat. Dah berjuta rumah dicat dgn berus bulu kita. Dah beratus mesjid, surau dan madrasah dicat menggunakan berus bulu kita. Apa hukumnya tu ibu?

Ibu babi : Entahlah anak ku. Rasanya masih banyak perkara yg berlaku dlm negara ini yg perlu dijadikan isu. Bukan benda remeh spt bulu kita ni. Mungkin juga bila orang sibuk bercakap dan berpolemik tentang bulu kita, org lupa kpd isu rasuah berbilion yg menggejala, isu salah guna kuasa, isu proton nak tergadai ke China dan isu China nak beli hartanah di negara ini.




Anak babi : Ya mungkin juga ya ibu. Tapi apabila China dah memiliki banyak harta dan hartanah di negara ini tentu kita yg beruntung. Masa tu tentu kita menjadi haiwan yg disayangi bukan dibenci. Kita akan membiak dgn lebih banyak lagi. Kita akan bertambah ramai. Kita akan jadi majoriti. Bersyukurlah kita jadi babi...


Monday, 13 February 2017

WHAT DO WE TELL THEM??? WITH LOOPHOLES OR WITH FALSEHOOD!!!

Minggu lepas beberapa pembesar Umno tersentak kelmarin kerana Menteri Besar Selangor, Azmin Ali aka Minali kata ada seorang menteri kanan sudah tinggalkan kerajaan, khabarnya kerana dia tidak tahu lagi bagaimana nak hadapi skandal 1MDB itu.

Bertempi lah para pembesar Umno, termasuk presidennya sekali,  melaungkan yang Azmin berbohong dan cuma ingin lihat kehancuran parti memerintah dipilihanraya kelak.

Sehingga kini KS tidak tahu ini betul atau tidak dan KS pun hampir tersedak pucuk pegaga yang KS sedang makan apabila seorang rakan beritahu berita ini malam itu.

Tapi KS langsung tidak akan terperanjat jika ada yang akan meninggalkan parti memerintah kerana skandal itu.

Percaya atau tidaknya akan skandal itu bukan soalnya. Tetapi ramai para pembesar parti sendiri tidak berapa tahu apa sebenarnya yang terjadi pada 1MDB dan SRC International itu. Pada mereka yang selalu terpaksa keluar negara, mereka cukup khuatir jika disoal tentang skandal itu.

Pada satu majlis makan malam tidak berapa lama sebelum KS bersara dulu, seorang pembesar kata yang mereka tidak ada masalah angguk kepala depan ketua mereka. Yang masalahnya, ujar mereka, ialah apabila balik ke kawasan masing-masing dan ada pula yang berpengetahuan lebih sedikit yang bertanya.

"What do we tell them? Apa kita nak beritau mereka?" katanya sambil mula mencucuh api ke hujung curutnya.

Memang susah nak terangkan tentang 1MDB dan SRC ini dengan kejujuran. Sebab banyak sangat apa yang orang putih panggil 'loopholes' didalam semua penerangan yang telah dicuba.

Orang yang percaya depan ketua pun bila tiba dibelakang mereka menggelengkan kepala. Akur cuma untuk kesinambungan hidup sahaja.

Seperti yang KS tegaskan beberapa kali sebelum ini, rakyat cuma akan percaya bila penerangan diberi oleh seorang yang tahu selok-belok kewangan 1MDB itu.


Jika tak silap namanya JHO LOW.

Sunday, 12 February 2017

SHAHRIR BELAJAR BUAT PUSINGAN U ATAU TERIMA TEKANAN?


Semalam 11 Februari  Pengerusi Felda TS Shahrir Samad bertanya kemana perginya  duit Felda sebanyak RM4.3 bilion.  Kenyataan itu disiarkan oleh media arus perdana.

Pembaca yang beli surat khabar pukul 10 pagi tadi ketika keluar bersarapan tentu keliru apabila pukul 3 petang ini Shahrir menjawab sendiri pertanyaannya.

Belum sempat bekas Pengerusi Felda  Isa Samad jawab, nampaknya Shahrir dah dapat tahu di mana dibelanjakan duit yang sebanyak itu.

Permainan apakah yang sedang berlaku di sebalik tirai yang terlindung daripada rakyat? 

KS fikir jawapan Shahrir tidak menjawab apa-apa malah semakin banyak persoalan. Kita tunggulah aka nada lebih banyak  babak-babak seterusnya.

KS menjangka ada tekanan yang memaksa Shahrir "BERLEMBUT" tentang kehilangan RM3.4 bilion itu.

Shahrir terpaksa buat pusingan U tidak penting. Yang penting Shahrir memberitahu rakyat duit Felda hilang.

Berikut adalah jawapan Shahrir terhadap pertanyaannya semalam, sendiri tanya, sendiri jawab.


JOHOR BAHRU 12 Feb. - Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjelaskan tiada dana Felda yang hilang sebaliknya wang tersebut dibelanjakan untuk beberapa tujuan.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, wang berjumlah RM6 bilion yang diterima ketika penyenaraian Felda ke bursa saham sudah digunakan bagi kelangsungan agensi tersebut.

“Selain RM1.7 bilion yang digunakan sebagai durian runtuh kepada peneroka, bakinya iaitu RM4.3 bilion juga sudah dibelanjakan.

“Antaranya bagi pembayaran one off kepada kerajaan negeri Sabah dan Pahang, pinjaman perumahan peneroka, perbelanjaan pengurusan, pelaburan hartanah dalam dan luar negara, pembelian saham dan pelbagai lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Kempen Derma Darah dan Organ Manusia di Plaza Sentosa, di sini sebentar tadi.


NILAIKANLAH…

SELONGKAR SALAH ISA SAMAD MELALUI SHAHRIR SAMAD???


Selepas dilantik sebagai Pengerusi Felda, TS Shahrir Samad, meskipun mengatakan hasratnya memulihkan agensi persekutuan itu yang dilanda pelbagai masalah, kecenderungannya lebih terlihat seperti ingin menyelongkar dan mendedahkan satu demi satu kesalahan TS Isa Samad.

Sebelum ini, Isa adalah Pengerusi Felda dan juga Pengerusi Felda Global Ventures Bhd atau FGV, cabang perniagaan agensi tersebut.

Bagaimanapun, Najib Razak yang menjaga Felda kini bertindak memisahkannya dengan melantik Shahrir sebagai Pengerusi Felda, manakala Isa hanya dikekalkan di FGV sahaja.

Sebaik dilantik, langkah pertama yang diambil Shahrir ialah mahu menjual semua aset dan hartanah Felda di luar negara, termasuk dua hotel di London yang dibeli oleh Isa beberapa tahun dahulu.

Alasan penjualan itu ialah untuk mengukuhkan aliran tunai Felda yang dikatakan semakin terjejas dan kekeringan wang kebelakangan ini.

Secara langsung dan tidak langsung, langkah penjualan aset dan hartanah itu seolah-olah menunjukkan pembeliannya yang dilakukan Isa sebelum ini adalah keputusan yang salah dan tidak mendatangkan faedah maksimum kepada Felda dan para peneroka.

Terbaru ini, Shahrir mempertikaikan pula ke mana perginya wang RM4.3 bilion yang merupakan lebihan daripada perolehan penyenaraian FGV di Bursa Saham.

"Felda mendapat RM6 bilion hasil penyenaraian FGV yang merupakan harta bisnes Felda. Daripada jumlah itu, kita belanjakan RM1.7 bilion  sebagai durian runtuh kepada peneroka di mana setiap keluarga memperolehi RM15 ribu dan ada bakinya RM4.3 bilion lagi.

"Jadi, RM4.3 bilion itu mana pergi?" kata Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

Sekali lagi, cara Shahrir mempersoalkan ke mana perginya wang RM4.3 bilion itu memperlihatkan seperti beliau mempertikaikan cara Isa berbelanja ketika bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengetuai Felda sebelum ini.

Apa lagi agaknya yang akan diselongkar oleh Shahrir selepas ini?

Isu berkaitan perbelanjaan dan ke mana perginya wang Felda sudah banyak diperkatakan sebelum ini. Rafizi Ramli dan Mazlan Aliman adalah antara mereka yang aktif mendedahkan pelbagai pembaziran dan salah laku dalam agensi tersebut sejak bertahun-tahun lamanya.

Tetapi, semua pendedahan mereka seolah-olah tidak mendatangkan apa-apa kesan kerana Isa yang mengetuai Felda dan FGV bagaikan ada kebebasan serta mendapat restu dan "dilindungi"  oleh Najib untuk berbelanja apa saja mengikut perkiraannya.

Itulah yang akhirnya menyaksikan banyak pembelian hartanah, hotel dan  pengambil-alihan syarikat, baik di dalam mahu pun di luar negara, begitu aktif dijalankan semasa Isa mengetuai Felda dan FGV.

Kenapa kini Shahrir bertindak seperti sedang mencari satu demi satu salah Isa?

Oleh kerana Felda terletak di bawah tangggungjawab dan pengawasan Perdana Menteri, bolehkah dipercayai tindakan Shahrir itu semata-mata atas keputusannya sendiri atau setelah mendapat restu dan lampu hijau daripada Najib sendiri?

Tidakkah ketika Isa membuat semua pembelian dan berbelanja banyak dahulu, beliau juga perlu mendapat restu dan persetujuan daripada Najib?

Apakah Najib kini mula menjauhi Isa dan sedang menggunakan Shahrir untuk mencari segala salah dan silap Pengerusi FGV itu?

Apa pula kesudahannya nanti setelah sekian banyak kesalahan Isa didedahkan?

Apakah kedudukan Isa sedang dalam bahaya dan langkah demi langkah yang dilakukan Shahrir sekarang adalah percaturan Najib untuk meminggir dan menyingkirkan terus Isa daripada FGV?


Ataukah tindakan mencari salah Isa itu merupakan "permainan halus" Shahrir bersama Najib untuk menerus dan menghalalkan  pembelian 37 peratus saham Eagle High Plantation di Indonesia yang sedang menjadi pertikaian dan kebimbangan bukan saja para peneroka, tetapi juga rakyat seluruhnya?

Kita nantikan sahaja nanti, bila agaknya Shahrir akan membuat laporan kepada SPRM atau polis berhubung salah laku dan kesalahan yang dilakukan oleh Isa.